Rindu yang Tiada Berpenghujung : Yang Tak Terucap



YANG TAK TERUCAP


            Suara pembaca berita di dalam televisyen memenuhi ruang tamu rumah keluarga Taufik. Ibu Taufik yang sedang sibuk mengemas baju-baju lama peninggalan arwah suaminya yang telah meninggal dunia lima tahun lepas, ditemani oleh Taufik yang sedang asyik menonton berita. Mana-mana baju yang masih elok dan padan dengan tubuh Taufik diasingkan sebelah. “Taufik, ini ibu sudah asingkan baju-baju yang elok dan padan dengan Fik” kata ibu Taufik sambil tangan kanannya menepuk-nepuk lipatan baju-baju peninggalan arwah suaminya itu.

Mata Taufik yang tertumpu sepenuhnya di kaca televisyen, kini beralih kepada baju-baju lama peninggalan arwah ayahnya. Melihat baju-baju lama peninggalan arwah ayahnya, terus fikiran Taufik diselubungi dengan kenangan-kenangan bersama ayahnya.

            Ayah Taufik merupakan seorang petani kecil-kecilan di Kampung Buluh Hitam, walaupun kebun dan hasil pertaniannya tidaklah sebesar mana tapi sudah cukup untuk menyara dan menampung mereka tiga beranak. Taufik tidak pernah rasa terkurang kerana ayahnya selalu mengajarnya untuk sentiasa rasa bersyukur atas rezeki dan nikmat yang diberikan oleh Tuhan. Ayah Taufik merupakan seorang suami yang bertolak ansur dan manja dengan isterinya dan seorang ayah yang bertutur dengan lembut tetapi tegas dalam mendidik Taufik.

Hubungan Taufik dan ayahnya bagaikan sahabat rapat, ini kerana ayah Taufik dan Taufik banyak persamaan. Sama selera, sama minat, sama hobi dan banyak lagi. Bagi Taufik, ayahnya adalah tempat untuk meluahkan segala-segalanya. Ayah Taufik dan Taufik gemar memancing ikan dan kebiasaanya pada waktu itu lah, Taufik akan berkongsi cerita, masalah dan rahsianya, dan kadang kala bermain teka-teki, oleh kerana suasana riuh-rendah mungkin menjadi punca hasil tangkapan ikan mereka berdua tak seberapa dengan masa menunggu.

            Ayah Taufik meninggal dunia lima tahun lepas akibat serangan jantung ketika bekerja di kebunnya. Pada ketika itu, usia Taufik hanyalah 16 tahun dan masih di bangku sekolah. Taufik dapat khabar berita ayahnya diserang serangan jantung ketika di sekolah yang disampaikan oleh guru kelasnya. Selepas mendengar khabar berita itu, jantung Taufik berdegup kencang dan dia segera bergegas ke Hospital Sultanah Maliha bersama-sama guru kelasnya. Dalam perjalanan ke hospital pelbagai perkara-perkara buruk terlintas di fikiran Taufik, yang semestinya tidak diingini terjadi pada ayahnya.

            Alangkah sedihnya takdir yang diaturkan oleh Tuhan, sampai sahaja di hospital, Taufik dipeluk oleh ibunya, lalu ibunya berbisik “Fik, ayah dah takdak”. Taufik terus rebah terduduk di atas lantai lantas menangis sekuat-kuat hatinya. Taufik tidak percaya dan tidak dapat menerima kenyataan yang ayahnya telah pergi buat selama-lamanya, tanpa sempat berjumpa dengannya. Dunia Taufik seakan-akan gelap gelita, Taufik tidak dapat bayangkan kehidupannya tanpa ayahnya di sisi. Taufik terus menangis teresak-esak sehingga nafasnya menjadi pendek lalu dia pengsan di pelukan ibunya. Begitulah pengakhiran hubungan Taufik dengan ayahnya.

            Tak sempat Taufik mengucapkan kata-kata terakhir kepada ayahnya. Kini lima tahun sudah berlalu selepas ayahnya menghembuskan nafas terakhir. Sungguh rindunya akan Taufik kepada ayahnya. Rindu yang tak akan berakhir, rindu yang tiada ubat. Kerana rindu Taufik kepada ayahnya ialah rindu yang tidak dapat diucap, rindu yang tidak terbalas.

“Taufik rindu ayah” lafaz Taufik, yang mengenang jauh dalam ingatannya bersama ayahnya tanpa dia sedar air matanya mengalir di pipi. Rindu yang tidak boleh diluahkan seperti rindu terhadap insan yang masih hidup di dunia, rindu Taufik kepada ayahnya ialah rindu yang tiada berpenghujung.
           


Comments